Friday, April 23, 2010
Sunday, April 18, 2010
Pesona Ungu Nisa Kemaman
Acara turut diserikan oleh peserta-peserta yang memperagakan busana muslimah dengan pelbagai gaya yang menarik dan menutup aurat.
Tuesday, April 6, 2010
PERBINCANGAN USRAH - Bahagian 1 2010
Selayang Pandang
Sebagaimana yang dijanjikan lama dahulu, perbincangan usrah kita akan dilanjutkan bagi membincangkan pesanan-pesanan berharga dari buku Afaat ‘ala al-Tariq.
Ranjau di sepanjang jalan dakwah terbukti pelbagai dan menyukarkan. Sesiapa yang berada di jalan dakwah tidak akan menafikannya. Ia umpama penyakit yang mesti diubati demi kelancaran hidup penderitanya. Ia adalah halangan yang menyekat kita daripada terus maju ke hadapan.
Tetapi buku ini bukan membincangkan soal penyakit ataupun halangan luaran. Bukan soal kekuatan musuh, tipudaya lawan ataupun hasad daripada orang yang dengki kepada perjuangan Islam. Buku ini membincangkan penyakit ataupun halangan dalaman, yang barangkali ada pada diri pendakwah, di kalangan pendokong perjuangan Islam sendiri.
Ada 28 halangan ataupun penyakit semuanya, yang didedahkan oleh al-Marhum kepada kita. Setiap penyakit diberikan definisi, sebab-sebab dijangkiti, bahaya kepada pendakwah dan organisasi, serta cara-cara merawatnya.
Bagi menjaga hak moral dan hakcipta penulis asal, kita tidak akan menterjemahkan ataupun menyalin isinya satu persatu. Kita kemukakan sebahagian isi penting perbincangan dan ulasan yang sesuai bagi diisi dalam blog ini.
Mari kita mulakan yang pertama pada bulan Januari – Al-Futur.
Penyakit Pertama : Al-Futur
Al-Futur itu ringkas kata maknanya : Dulu cergas, sekarang tidak cergas lagi. Dulu aktif, sekarang tidak aktif lagi. Dulu terlibat, sekarang tidak, bawa haluan sendiri.
Barangkali kita salah seorang antara mereka?
Apakah sebab-sebab penyakit ini?
Al-Sayyid Muhammad Nuh menyenaraikan 13 sebab, sebagaimana yang kita kongsikan dalam usrah. 7 daripadanya adalah :
- Ghuluw.
Ulasan : Iaitu terlampau keras dan syadid dalam beragama. Contohnya tidak ada rehat langsung, tidak mendapat makanan yang berzat, tidak beri hak sepatutnya kepada diri ataupun keluarga, sedangkan perjalanan masih panjang. Lama kelamaan timbul rasa lemah dan jemu.
- Melampaui had dalam melakukan perkara-perkara yang diharuskan dalam Islam.
Ulasan : Contohnya terlampau banyak makan, terlalu banyak rehat. Badan jadi lemah dan seterusnya membawa kita ke zon malas. Rehat perlu, tidak boleh diabaikan hak badan kita yang memerlukan rehat. Berehatlah sekadar perlu. Konsep 'lari berganti-ganti' barangkali bagus sangat kita laksanakan dalam organisasi kita. :)
- Mufaraqah dengan jamaaah.
Ulasan : Hidup sendiri, tidak mahu bergabung menjadi salah satu daripada batu bata bangunan. Jalan dakwah ini jalan yang panjang, banyak pula peringkat-peringkat yang perlu dilalui. Kebersamaan akan memberikan motivasi, menambah ilmu dan kefahaman, memantapkan cita-cita. Bersendirian akan menjadikan kita lalai dan malas, kalaupun tidak ‘hilang selamanya.’
وتعاونوا على البر و التقوى ولا تعاونوا على الإثم و العدوان
“Tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa, jangan kamu tolong menolong dalam mengerjakan dosa dan pencerobohan.”
Ayat 2 surah al-Maidah.
- Kurang mengingati mati dan Hari Akhirat.
Ulasan : Tujuan sebenar kita bekerja dan bergabung ini adalah kerana keyakinan kita kepada hari akhirat. Kita bekerja kerana ia adalah suatu kewajipan. Berdakwah dalam konteks negara kita menjadi fardhu ain kepada kita yang faham, bukan fardu kifayah lagi. Kerja berjamaah, tetapi amalan ditimbang secara individu. Berkhidmat sementara nyawa masih dikandung badan.
- Tidak mengambil berat terhadap amal-amal ibadat harian.
Ulasan : Contohnya sudah lama benar tidak qiyamullail ataupun sembahyang sunat rawatib. Lama benar tidak membaca al-Quran,ataupun tidak menghadiri majlis ilmu. Dan bagi lelaki, tidak sembahyang berjemaah di masjid.
- Tidak seimbang dalam memahami dan melaksanakan tuntutan agama.
Ulasan : Contohnya bersungguh dalam bab perjuangan tetapi melupakan bab akidah yang menjadi asas. Mengambil berat dalam hal-hal hukum feqah sahaja tetapi memperkecilkan soal-soal akhlak dan halusnya budi pekerti sesama insan. Ataupun mengambil berat soal ibadat peribadi, tanpa mempedulikan isu-isu kenegaraan.
يا أيها الذين آمنوا ادخلوا في السلم كافة ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. “
Ayat 208 Surah al-Baqarah.
- Melupakan ‘sunnatullah’ dalam kejadian dan kehidupan ini.
Ulasan : Contohnya hendak mengubah sosial, ekonomi, politik dan akidah ke arah kebaikan dalam masa sehari semalam! Orang yang berfikir seperti ini sebenarnya tidak berpijak di bumi nyata. Apabila realiti yang berlaku tidak selari dengan cara pemikirannya, dia akan jadi kecewa, lantas mengambil sikap merajuk, tidak mahu bergiat lagi.
Kerja besar memerlukan masa yang panjang, kesabaran yang tinggi, bekalan yang banyak dan berterusan, serta kepakaran yang pelbagai, baik dalam hal agama mahupun urusan dunia.
Antara sunnatullah juga, jika kita ada anak-anak, anak-anak kita sama seperti anak-anak orang lain, perlukan perhatian dan bimbingan. Kita hendak mendaulatkan syariat Allah, tetapi tidak boleh melupakan sunnatullah yang penting ini. Mari kita fikirkan dan lakukan sesuatu, jangan kita tinggalkan mereka ditarbiyah oleh ‘TV’ semasa kita keluar.
Insya Allah, jumpa lagi dalam bahagian ke-2 untuk mengetahui apakah kesan dan juga ubatnya…
Tarikh : 22 Januari 2010
Sunday, April 4, 2010
Sukan Nisa sempena Festival Dun Chukai meriah
2 APRIL - Bertempat di Dataran Geliga Chukai, satu Festival Pas cawangan Chukai telah diadakan selama 3 hari berturut-turut.Bersempena dengan itu, NISA mengambil kesempatan mendekati remaja-remaja dan ahli NISA dalam satu sukaneka yang diadakan.
Antara acara yang menarik pada hari itu ialah pertandingan memasukkan air dalam botol, bola beracun, kuiz, rebut kerusi, bawa bola dalam sudu dan dam ular.Para peserta yang hadir lebih kurang dalam 60-70 orang di kalangan kanak-kanak, remaja dan juga dewasa.
Acara bola beracun dan kuiz
Acara padang
Isi air dalam botol
Kaum ibu pun mengambil bahagian
Rebut kerusi
Pertandingan dam ular
Petugas NISA
Hakim pertandingan
Para peserta yang menang mendapat hadiah dan saguhati dari NISA.
Sukaneka pada hari itu berlangsung dengan baik dan meriah hasil daripada penyertaan yang menggalakkan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua ajk NISA yang bertungkus lumus menjayakan program sukaneka ini.
Semoga segala penat lelah dan pengorbanan masa yang diberikan oleh semua akan mendapat ganjaran pahala dariNya Yang Esa. Amin..
Hingga berjumpa lagi di program lain. Illa Liqa'