Saturday, February 6, 2010

TAUTAN HATI NISA : MUKADDIMAH (APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM?)

USRAH NISA KAWASAN
TEMPAT : BALAI ISTIQAMAH, KEMAMAN
NAQIB : UST NIK NASRI

Mukadimah


Kitab ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama membentang sifat-sifat yang wajib ada pada setiap orang Muslim supaya dengan sifat-sifat tersebut ia benar-benar menjadi seorang Muslim.

Bahagian pertama ini menjelaskan syarat-syarat yang wajib ada pada setiap orang yang menggabungkan dirinya dengan agama Islam.

Sebenarnya ramai dari manusia ini menjadi Muslim kerana hobi atau dilahirkan oleh kedua orang ibu bapanya yang memang beragama Islam. Mereka ini pada hakikatnya tidak memahami makna menggabungkan diri dengan Islam. Mereka juga tidak mengerti tentang tuntutan-tuntutan dari penggabungan ini. Lantaran inilah anda dapat melihat mereka berada di satu pihak manakala Islam pula berada di pihak yang lain.

Matlamat dari bahagian ini adalah untuk menjawab seluruh persoalan-persoalan ini di samping menerangkan perkara-perkara yang dituntut oleh Islam ke atas seseorang Muslim supaya penggabungan mereka ke dalam agama Islam menjadi penggabungan yang sah dan benar seterusnya ia menjadi seorang Islam yang benar. Firman Allah:

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ مِلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِنْ قَبْلُ وَفِي هَذَا لِيَكُونَ الرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَءَاتُوا الزَّكَاةَ وَاعْتَصِمُوا بِاللَّهِ هُوَ مَوْلَاكُمْ فَنِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيرُ

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (Surah Al-Hajj 22: Ayat 78)

Bahagian kedua buku ini pula menerangkan kewajipan beramal untuk menegakkan Islam dan kewajipan menggabungkan diri dengan Harakah Islamiyah. Bahagian ini juga menerangkan ciri-ciri atau sifat-sifat Harakah Islamiyah, sasaran matlamatnya, cara-cara pergerakannya, falsafahnya, cara atau jalan kerjanya serta sifat-sifat yang wajib ada pada diri orang yang menggabungkan diri dengannya.

Perlu disebutkan di sini bahawa segala peristiwa yang berlaku di dunia Islam secara umum dan di negara-negara Arab secara khusus, merupakan satu bukti besar bahawa umat Islam sedang hidup dalam keadaan kekosongan yang terlalu parah dalam berbagai lapangan kehidupan.

Dalam beberapa waktu yang genting ini umat Islam telah melalui pengalaman yang begitu pahit di mana telah banyak sistem (peraturan) hidup dan prinsip-prinsip pegangan mereka telah gugur lenyap. Banyak gerakan-gerakan dan ramai pula pemimpin yang turut gugur tercicir apabila berhadapan dengan cabaran-cabaran masa kini kerana gerakan dan pimpinan berkenaan tidak mempunyai asas-asas persediaan yang membolehkan mereka terus kekal dan berterusan.

Semua sistem, prinsip, gerakan dan pimpinan berkenaan gugur lenyap kerana ia tidak lebih dari slogan-slogan kosong lagi palsu, tidak punya nilai dan mutu.

Ia gugur lenyap kerana ia tidak asli dan tidak tulen. Ia tidak langsung menggambarkan keperibadian umat ini. Malah ia adalah sesuatu yang asing, dicipta dan diimport ke negara-negara umat Islam sebagaimana kita mengimport pakaian dan sarung kaki, sebab itulah ia tidak kekal lama. Dalam waktu yang singkat sahaja ia telah tumpas dan dengan cepat pula terbongkarlah keburukan-keburukannya.

Lantaran kelemahan dan keburukan itu seluruh umat telah menolaknya. Ia ditolak kerana ia adalah asing bagi umat Islam, tidak serasi dengan dasar-dasar pegangan dan keyakinan mereka.

Perbandingan keadaannya adalah seperti jantung atau hati yang digantikan pada seseorang. Dalam tempoh yang singkat sahaja terasalah kesakitan dan penderitaan. Tidak lama kemudian jasad itu akan mati dan hancur.

Inilah keadaan yang benar-benar berlaku di kalangan masyarakat umat Islam di waktu mereka sendiri menyedari bahawa mereka berada dalam keadaan lemah dan sakit. Namun demikian mereka tidak berfikir tentang apa yang patut mereka lakukan untuk memperbaiki keadaan tersebut. Sebaliknya mereka terus mengimport dasar-dasar dan sistem-sistem ciptaan manusia yang disangkanya baik, sedangkan dasar-dasar dan sistem tersebut penuh dengan racun keburukan, kehancuran, krisis, kerosakan dan keruntuhan.

Rancangan peringkat pertama berakhir dengan (kejayaan) menanamkan fahaman peradaban barat dan pemikiran Kapitalisme di dalam pemikiran umat Islam. Akibatnya timbullah barah-barah yang merosakkan setiap bidang kehidupan masyarakat, ekonomi, politik dan lain-lain. Penyakit barah ini telah merosakkan keperibadian umat, mengkucar-kacirkan pemikiran, merosakkan akhlak dan akhir sekali menyediakan keadaan dan suasana masyarakat Islam yang membawa kepada ketewasan pertama dalam tahun 1948.

Walau bagaimana pahit sekalipun pengalaman dan buruknya keadaan yang menimpa mereka, namun umat Islam masih tetap dalam belenggu tawanan kekalahan dan keciciran, terus dicengkam perasaan, tertipu pula oleh slogan-slogan yang penuh dengan kepalsuan dan keindahan zahir yang memukau, keadaan sebeginilah yang menyebabkan umat Islam menerima kekalahan buat kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya kekalahan demi kekalahan.

Semua sistem-sistem yang melaungkan slogan-slogan pembangunan, revolusi, persamaan dan lain-lain tidak pernah memberi sebarang faedah malah keakraban persahabatan dengan golongan tersebut tidak sedikitpun dapat menolak bencana yang mendatang.

Ketewasan yang dialami pada tahun 1948 adalah berpunca daripada mengikuti telunjuk barat, kemudian ketewasan berikutnya dalam tahun 1967 adalah berpunca dari mengikuti aliran politik yang berfahaman kiri.

Umat Islam telah keluar dari peristiwa-peristiwa ini dengan penuh pengalaman duka dan menyayatkan sehingga mereka tidak lagi mempercayai orang-orang yang cuba memberi harapan untuk mereka, malah kepercayaan mereka kepada para pemimpin, pembesar, aliran-aliran dan parti-parti turut musnah sama sekali.

Lantas adakah umat Islam telah sedar setelah mereka sendiri mengalami peristiwa-persistiwa ini?

Apakah penderitaan dan pengalaman pahit ini telah menyedarkan mereka?

Apakah mereka menyedari bahawa kekuatan antarabangsa sedang berkerumun untuk menghancurkan mereka?

Apakah umat Islam menyedari bahawa timur dan barat, kiri dan kanan, semuanya adalah musuh mereka, sentiasa menyimpan dendam kesumat terhadap mereka dan sentiasa pula menunggu-nunggu kesempatan untuk menghancurkan mereka?

Sesungguhnya tidak ada yang lebih sesat dari golongan yang mengatakan sekiranya umat Islam tidak menjadi golongan kanan mereka mestilah menjadi golongan kiri. Sekiranya mereka tidak menjadi komunis mereka mestilah menjadi kapitalis. Umat Islam wajib menjadi menyedari dengan sebenar-benarnya bahawa mereka memiliki sifat-sifat keperibadian yang tersendiri, keperibadian yang tidak berfahaman kanan atau kiri. Mereka mempunyai keperibadian yang tulen lagi asli, keperibadian yang sifat-sifat dan rupa bentuknya bersumber dari ajaran Islam sebagai agama fitrah (murni) dan risalah fitrah. Dengan keperibadian yang tersendiri dan asli inilah yang membolehkan umat Islam memegang kendali aliran pemikiran dan politik Islam.

Umat Islam mestilah menyedari bahawa kekosongan besar yang dihadapi oleh mereka sekarang ini tidak akan dapat diisi oleh rancangan-rancangan yang diatur oleh Rumah Putih (White House) di Amerika atau oleh rancangan-rancangan Kremlin dari Rusia malah ia juga tidak akan dapat diisi oleh pemikiran Mark, Lenins, prinsip-prinsip Jipara mahupun Ho Chi Minh.

Sebenarnya kekosongan ini tidak dapat diisi selain dari Islam sama ada dari sudut 'akidah, sistem hidup, akhlak mahupun syariat perundangan. Kesemua keperluan ini menyebabkan Harakah berhadapan dengan satu tanggungjawab terhadap sejarah masa depan umat Islam, satu tanggungjawab yang memerlukan iman dan iradah yang ampuh. Apakah para pendakwa sekalian telah menyedari tanggungjawab mereka ini?

0 comments:

Related Posts with Thumbnails