Oleh Ahmad Nasim bin Abdul Rauf
Sembahyang berjemaah adalah suatu amalan yang sangat dituntut oleh agama. Banyak hadith yang menyebutkan kelebihan sembahyang berjemaah jika dibandingkan sembahyang secara berseorangan. Antaranya:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sembahyang secara berjemaah melebihi sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat”.[i]
Di samping mendatangkan ganjaran yang besar dari Allah taala amalan ini juga memberikan berbagai pengajaran kepada kehidupan di dunia. Di dalam sembahyang berjemaah banyak perkara yang mesti dijaga antara imam dan makmum terutamanya dalam aspek hubungan antara keduanya serta hubungan sesama makmum. Kalau diteliti pengajaran di sebaliknya ia adalah asas kehidupan bermasyarakat iaitu hubungan antara rakyat dan pemimpin serta sesama rakyat yang sepatutnya dicetuskan ke dalam kehidupan di luar sembahyang.
Petunjuk yang sangat jelas dari Nabi s.a.w. bahawa imam sembahyang bukan semata-mata pemimpin di dalam sembahyang sebaliknya lebih dari itu iaitu sebagai pemimpin kepada sesebuah masyarakat serta negara adalah dengan perintah daripada Baginda supaya Abu Bakar r.a. mengimamkan sembahyang ketika Baginda uzur di akhir kehidupannya sebagaimana yang dinukilkan oleh beberapa imam-imam hadith iaitu:
عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ مَرِضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاشْتَدَّ مَرَضُهُ فَقَالَ مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ قَالَتْ عَائِشَةُ إِنَّهُ رَجُلٌ رَقِيقٌ إِذَا قَامَ مَقَامَكَ لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يُصَلِّيَ بِالنَّاسِ قَالَ مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ فَعَادَتْ فَقَالَ مُرِي أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ
Daripada Abu Musa r.a. katanya, “Nabi s.a.w. jatuh sakit lalu sakitnya bertambah berat maka Baginda bersabda: “Suruhlah Aba Bakr supaya ia mengimamkan orang ramai”. ‘Aaisyah r.a. berkata, “Sesungguhnya dia adalah seorang yang lembut hatinya, bila dia menggantikan tempatmu dia tidak mampu untuk mengimamkan orang ramai”. Nabi s.a.w. berkata lagi, “Suruhlah Aba Bakr supaya ia mengimamkan orang ramai”. ‘Aaisyah mengulangi kata-kata tadi lalu Nabi s.a.w. berkata lagi, “Suruhlah Aba Bakr supaya ia mengimamkan orang ramai”. [ii]
Hadith ini adalah isyarat yang jelas daripada Nabi s.a.w. bahawa Abu Bakar r.a. akan menggantikan kepimpinan Baginda selepas kewafatannya. Kerana itulah kita lihat di dalam sejarah pemerintahan Islam seseorang pemimpin sesebuah masyarakat akan merupakan pemimpin di dalam sembahyang juga sehinggalah sembahyang jenazah. Begitu juga larangan Nabi s.a.w. daripada seseorang menjadi imam di tempat yang berada di bawah kekuasaan orang lain adalah isyarat kepada kepimpinan iaitu penguasaan seseorang di dalam sesuatu kawasan tidak boleh diganggu oleh orang lain kerana ianya akan membawa kekacauan.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
عن أبي عطية العقيلي قال : كان مالك بن الحويرث يأتينا إلى مصلانا يتحدث فحضرت الصلاة يوما قال أبو عطية : فقلنا له : تقدم فصله . قال لنا قدموا رجلا منكم يصلي بكم وسأحدثكم لم لا أصلي بكم ؟ سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : " من زار قوما فلا يؤمهم وليؤمهم رجل منهم "
Daripada Abi ‘Atiyyah al-Uqaili katanya, “Pada suatu hari Malik bin al-Huwairith datang ke musolla kami berbincang-bincang lalu tiba waktu sembahyang”, Abu ‘Atiyyah berkata, “Kami berkata kepadanya: “Sila kedepan sebagai imam”, dia berkata kepada kami, “Kedepankan seorang dari kalangan kamu untuk mengimamkan kamu dan saya akan menceritakan kepada kamu kenapa saya tidak mahu mengimamkan kamu. Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menziarahi sesuatu kaum janganlah dia mengimamkan mereka dan hendaklah seorang dari kalangan mereka mengimamkan mereka”.[iii]
Terdapat beberapa riwayat yang lain daripada Nabi s.a.w. berkenaan hubungan antara imam dan makmum yang mengisyaratkan kepada kepimpinan di dalam sesebuah masyarakat dan negara. Antaranya adalah seperti berikut:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثَةٌ لَا تَرْتَفِعُ صَلَاتُهُمْ فَوْقَ رُءُوسِهِمْ شِبْرًا رَجُلٌ أَمَّ قَوْمًا وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ وَامْرَأَةٌ بَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَلَيْهَا سَاخِطٌ وَأَخَوَانِ مُتَصَارِمَانِ
Daripada Ibnu Abbas r.a. daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Tiga golongan sembahyang mereka tidak melepasi kepala mereka walaupun sejengkal, seseorang yang menjadi imam kepada satu kaum padahal mereka tidak menyukainya, seorang perempuan yang bermalam dalam keadaan suaminya murka kepadanya dan dua orang saudara yang saling memutuskan hubungan antara satu sama lain”.[iv]
Hukum yang dapat disimpulkan dari hadith di atas adalah seorang imam itu mestilah seorang yang baik, berakhlak mulia dan sebagainya serta disenangi oleh makmumnya. Dari segi isyarat kepada kepimpinan yang terdapat di dalam hadith ini ialah seorang pemimpin mestilah disenangi oleh rakyatnya kerana tiada persefahaman antara keduanya akan membawa kepada kekacauan dan negara tidak akan aman tenteram.
Kerana itulah pemilihan sebagai seorang imam mestilah dari kalangan orang yang paling berilmu. Abu Mas’ud r.a. meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. sabdanya:
يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا
“Hendaklah orang yang paling ‘alim tentang kitab Allah menjadi imam bagi sesuatu kaum, kalaulah mereka sama sahaja pada bacaan (kitab Allah) maka yang paling mengetahui tentang sunnah, kalaulah mereka sama sahaja tentang sunnah maka yang paling dahulu hijrahnya, kalaulah mereka sama sahaja hijrahnya maka yang paling dahulu Islamnya”.[v]
Ulama berbeza pendapat makna “أَقْرَؤُهُمْ”. Setengah mengatakan maknanya yang paling elok bacaannya dan setengah mengatakan yang paling memahami isi kandungan al-Quran. Masing-masing mengemukakan alasan mereka namun bagi penulis pendapat yang kedua lebih baik. Antara alasan yang diberikan adalah:
كان الصحابة رضي الله عنهم إذا كان أكثرهم قرآنا فإنه أفقههم وأعلمهم لانهم لا يتجاوزون عشر آيات حتى يتعلموها وما فيها من العلم والعمل
“Sahabat-sahabat r.a. yang paling banyak mengingati Quran adalah yang paling memahami dan mengetahui isi kandungannya dari kalangan mereka. Kerana mereka tidak melepasi sepuluh ayatpun kecuali mereka mempelajarinya bersama dengan ilmu yang terdapat di dalamnya dan beramal.”[vi]
Imam Nawawi juga mengemukakan alasan yang menunjukkan maknanya adalah yang lebih memahami isi kandungan al-Quran. Katanya:
وقال مالك والشافعي وأصحابهما الأفقه مقدم على الأقرأ لأن الذي يحتاج إليه من القراءة مضبوط والذي يحتاج إليه من الفقه غير مضبوط وقد يعرض في الصلاة أمر لا يقدر على مراعاة الصواب فيه الا كامل الفقه قالوا ولهذا قدم النبي صلى الله عليه و سلم أبا بكر رضي الله عنه في الصلاة على الباقين مع أنه صلى الله عليه و سلم نص على ان غيره أقرأ منه
“Imam Malik dan Syafi’e serta pengikut keduanya berpendapat bahawa orang yang lebih memahami (al-Quran) diutamakan daripada orang yang lebih baik bacaannya kerana keperluan kepadanya adalah lebih kuat daripada bacaan semata-mata dan keperluan kepadanya (bacaan) kurang lagi jika dibandingkan dengan fiqh (kefahaman mendalam kandungan al-Quran). Kadang-kadang berlaku sesuatu di dalam sembahyang yang hanya orang yang sempurna kefahamannya sahaja dapat melakukan yang betul. Mereka beralasan juga dengan Nabi s.a.w. mendahulukan Abu Bakar r.a. di dalam sembahyang daripada orang-orang yang lain sedangkan Baginda mengakui bahawa orang lain adalah lebih elok bacaannya daripada Abu Bakar r.a.”[vii]
Begitu juga dari segi kesesuaian yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. juga memihak kepada pendapat ini kerana selepas itu Nabi s.a.w. menyebutkan “yang paling mengetahui tentang sunnah”. Sudah pastilah yang lebih utama daripadanya adalah al-Quran dan pemahaman terhadapnya juga berkait rapat dengan memahami sunnah.
Ini dipandang dari sudut hukum fekah. Dari segi hikmahnya adalah berkait rapat dengan orang yang memimpin sesuatu ummat. Kerana hanya orang yang lebih mendalam ilmunya tentang al-Quran dan Sunnah lebih layak untuk memimpin sesuatu kaum atau Negara. Di samping itu ilmu kemasyarakatan yang paling tinggi adalah yang ditunjukkan dan dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. yang terdapat di dalam keduanya.
Ketandusan ilmu di kalangan masyarakat sehingga tiada orang yang layak menjadi imam adalah merupakan salah satu alamat kiamat sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:
عَنْ سَلَامَةَ ابْنَةِ الْحُرِّ قَالَتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَتَدَافَعَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ لَا يَجِدُونَ إِمَامًا يُصَلِّي بِهِمْ
Daripada Salamah binti al-Hurr katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “di antara tanda-tanda kiamat adalah ahli masjid saling bertolak-tolakan (sebagai imam) mereka tidak mendapati seorang imam yang akan mengimamkan mereka.”[viii]
Kemudian di dalam hadith yang lain pula Rasulullah s.a.w. menyebutkan salah satu tanda kiamat adalah penyerahan tugas kepada orang yang tidak layak dengannya. Baginda bersabda ketika ditanya tentang alamat kiamat:
فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
Bermaksud: “Bilamana amanah telah disia-siakan maka tunggulah kiamat. Orang itu (sahabat r.a. yang bertanya itu) bertanya, “Bagaimana disia-siakan amanah itu? Nabi s.a.w. menjawab, “Bila diserahkan sesuatu urusan kepada bukan ahlinya (orang yang tidak layak dengannya) maka tunggulah kiamat”.[ix]
Perkaitan rapat antara kedua-dua hadith berkenaan alamat kiamat ini ialah hadith pertama menunjukkan ketiadaan orang yang layak untuk mengimamkan sembahyang dan hadith kedua adalah ketiadaan orang yang benar-benar layak untuk memimpin umat manusia. Ini difaham daripada hadith yang kedua iaitu penyerahan urusan kepada orang yang tidak layak dan termasuk di dalam penyerahan urusan tersebut adalah urusan pemerintahan bahkan urusan ini adalah yang paling penting di dalam kehidupan manusia. Dan tidak mempunyai kelayakan untuk memikul kedua-dua urusan tersebut adalah disebabkan ketiadaan ilmu.
Begitu juga rakyat yang tidak memenuhi tanggungjawabnya sebagai rakyat akan menyebabkan tugas seorang pemimpin akan terganggu. Perkara ini juga diisyaratkan oleh Nabi s.a.w. di dalam sembahyang sebagaimana yang berlaku kepada Baginda sendiri seperti yang dikemukakan oleh Imam Nasaie di dalam sunannya iaitu:
عَنْ رَجُلٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ صَلَّى صَلَاةَ الصُّبْحِ فَقَرَأَ الرُّومَ فَالْتَبَسَ عَلَيْهِ فَلَمَّا صَلَّى قَالَ مَا بَالُ أَقْوَامٍ يُصَلُّونَ مَعَنَا لَا يُحْسِنُونَ الطُّهُورَ فَإِنَّمَا يَلْبِسُ عَلَيْنَا الْقُرْآنَ أُولَئِكَ
Daripada seorang sahabat Nabi s.a.w. daripada Nabi s.a.w. bahawa Baginda mengimamkan sembahyang subuh lalu membaca surah Rum. Maka berlaku kecelaruan di dalam pembacaannya. Bila selesai sembahyang Baginda berkata: “Kenapa ada beberapa orang yang bersembahyang bersama kita tidak mengelokkan bersucinya (wudhu’ atau mandi). Sesungguhnya mereka itu telah mendatangkan gangguan kepada pembacaan Quran kita.”[x]
Dari segi hukumnya seseorang yang hendak pergi sembahyang berjemaah mestilah memenuhi segala syaratnya supaya ia tidak mendatangkan gangguan kepada jemaah yang lain termasuk imam. Dari segi falsafah berjemaah ialah seseorang rakyat hendaklah memenuhi segala syarat dan tanggungjawab sebagai rakyat supaya kehadirannya di dalam masyarakat tidak mendatangkan gangguan kepada mereka begitu juga kepada pemimpin. Bahkan lebih dari itu hendaklah kehadirannya mendatangkan keselesaan dan memberikan manfaat kepada mereka semua. Ianya juga diisyaratkan oleh Nabi s.a.w. yang merupakan amalannya serta perintahnya kepada umatnya dengan sabdanya:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي أَوْ عَلَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلَاةٍ
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalaulah tidak kerana aku akan menyusahkan umatku atau manusia pasti aku akan menyuruh mereka supaya menggosok gigi setiap kali sembahyang”.[1]
Berdasarkan kepada hadith ini ulama menghukumkan sunat menggosok gigi setiap kali sembahyang. Begitu juga sunat memakai wangian (lelaki-LNK) berdasarkan isyarat yang terdapat di dalam hadith yang lain. Tujuannya adalah bila seseorang pergi untuk berjemaah maka hendaklah ia mendatangkan keselesaan kepada ahli jemaah yang lain termasuk imam bahkan mereka mendapat manfaat pula daripadanya iaitu memperolehi bau yang enak dari mulut dan pakaiannya di samping menyenangkan malaikat yang berdampingan dengannya di masjid. Dari segi falsafahnya pula ialah pengajaran kepada seseorang yang menjadi ahli sesuatu masyarakat hendaklah mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada masyarakat tersebut termasuk pemimpinnya.
Berdasarkan kepada faktor-faktor tersebut (untuk mengurangkan gangguan kepada imam) maka Nabi s.a.w. mengisyaratkan supaya orang yang mengiringi imam adalah dari kalangan orang-orang yang cerdik pandai sebagaimana yang terdapat di dalam hadith yang berbunyi:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِيَلِنِي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثَلَاثًا
Daripada Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah mengiringiku cerdik pandai dari kalangan kamu kemudian yang mengiringi mereka (sebanyak tiga kali)”.[2]
Dari segi hukum orang yang paling patut berada di saf pertama di belakang imam adalah orang-orang yang berilmu supaya mereka boleh menggantikan imam bila berlaku sesuatu kepada imam seperti terbatal sembahyang atau sebagainya. Dari segi falsafah kepimpinan ialah orang yang paling layak untuk sentiasa bersama pemimpin, menjadi pembantunya, orang kanannya dan sebagainya adalah orang yang berilmu terutamanya ilmu berkenaan pemerintahan supaya urusan pemimpin tersebut menjadi lebih senang dan kurang gangguan terhadapnya dan orang yang berada di sampingnya boleh menggantinya bila berlaku sesuatu kepadanya. Walaupun begitu Nabi s.a.w. sentiasa menggalakkan umatnya supaya berlumba-lumba untuk berada di saf pertama di dalam sembahyang dengan menyebutkan berbagai kelebihannya. Antaranya:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang pertama dan seburuk-buruknya adalah yang paling akhir”.[3]
Dari segi zohirnya Nabi s.a.w. menggalakkan supaya berlumba-lumba untuk berada di saf pertama tetapi di samping itu Baginda memberikan peringatan bahawa bukan semua orang layak untuk berada di tempat tersebut. Maksud Baginda yang sebenarnya adalah supaya orang ramai sentiasa berusaha untuk melayakkan diri supaya memperolehi kelebihan besar tersebut dengan cara sentiasa mendalami ilmu agama. Hikmah kepimpinan yang dikehendaki di sini adalah galakan supaya berusaha menuntut ilmu sehingga mencapai tahap golongan yang mampu untuk menjadi pembantu kepada pemimpin dan seterusnya melayakkan diri dari segi kemampuan untuk menjadi seorang pemimpin. Inilah antara maksud yang tersirat di sebalik doa yang sering dipanjatkan kepada Allah taala iaitu;
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan sebagai penyejuk mata kami dan jadikanlah kami sebagai pemimpin orang-orang yang bertakwa”.[4]
Seterusnya makmum diperintahkan supaya sentiasa mengikuti apa yang dilakukan oleh imam dan jangan sekali-kali mendahului imam. Orang yang mendahului imam diancam dengan balasan yang keras seperti;
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ مَا يَأْمَنُ الَّذِي يَرْفَعُ رَأْسَهُ فِي صَلَاتِهِ قَبْلَ الْإِمَامِ أَنْ يُحَوِّلَ اللَّهُ صُورَتَهُ فِي صُورَةِ حِمَارٍ
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang mengangkat kepalanya di dalam sembahyang sebelum imam tidak akan selamat daripada Allah akan menukar rupanya dengan rupa himar”.[5]
Ancaman yang keras ini bukan semata-mata bagi seorang makmum di dalam sembahyang tetapi pengajarannya juga adalah kepada rakyat supaya jangan mendahului pemimpin di dalam tindak tanduknya. Perbuatan sedemikian akan membawa kekalutan di kalangan rakyat sebagaimana perbuatan orang yang mendahului imam di dalam sembahyang akan mendatangkan kekeliruan kepada makmum yang lain. Kerana itu Nabi s.a.w. sentiasa memberikan peringatan kepada umatnya supaya memberikan ketaatan kepada pemimpin selagi mereka tidak menyeru kepada maksiat.
Bagi pemimpin pula mereka hendaklah sentiasa memahami keadaan rakyat dan menjaga keperluan mereka. Antara pengajaran yang boleh diambil adalah hubungan antara imam dan makmum di dalam sembahyang sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.. Antaranya:
أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ مَا صَلَّيْتُ وَرَاءَ إِمَامٍ قَطُّ أَخَفَّ صَلَاةً وَلَا أَتَمَّ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنْ كَانَ لَيَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَيُخَفِّفُ مَخَافَةَ أَنْ تُفْتَنَ أُمُّهُ
Anas bin Malik r.a. berkata: “Tidak pernah aku sembahyang di belakang seorang imam yang paling ringkas sembahyangnya tetapi paling sempurna daripada Nabi s.a.w.. Jikalau Baginda mendengar tangisan bayi Baginda akan meringkaskan kerana bimbang ibunya akan terganggu”.[6]
[i] Hadith riwayat al-Bukhari bab kelebihan sembahyang berjemaah.
[ii] Hadith riwayat Bukhari bab orang yang mempunyai ilmu dan kelebihan lebih layak menjadi imam, Muslim bab imam meminta supaya diganti bila uzur dan lain-lain.
[iii] Hadith riwayat Termizi bab apa yang datang berkenaan orang yang menziarahi suatu kaum dia tidak boleh mengimamkan mereka.
[iv] Hadith riwayat Ibnu Majah bab seseorang yang menjadi imam kepada satu kaum padahal mereka tidak menyukainya
[v] Hadith riwayat Muslim bab orang yang paling berhak menjadi imam.
[vi] As-Syarh al-Mukhtasar ‘ala Bulugh al-Maram jil 3 hal. 241
[vii] Syarah Muslim Imam Nawawi bab orang yang paling berhak menjadi imam jil 5 hal. 173.
[viii] Hadith riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Abu Daud.
[ix] Hadith Riwayat al-Bukhari.
[x] Hadith Riwayat Nasaie bab membaca surah Rum di dalam sembahyang subuh.
[1] Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.
[2] Hadith riwayat Muslim bab membetulkan saf dan menegakkannya dan sebaik-baik saf adalah yang pertama dan seterusnya.
[3] Ibid.
[4] Al-Quran surah al-Furqan ayat 74.
[5] Hadith riwayat Muslim bab haram mendahului imam dengan ruku’ dan sujud.
[6] Hadith riwayat al-Bukhari bab orang yang meringankan sembahyang ketika mendengar tangisan bayi.
Sumber :